Renang mengikut definisi kamus keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah bermaksud "bergerak dengan menggunakan tangan, kaki atau kaedah-kaedah yang lain di permukaan air (atau di dalam air tanpa menyentuh dasar)." Renang di anggap sinonim dengan kehidupan manusia yang mencari rezeki atau mendiami kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sungai atau laut.
Renangan menggunakan kaedah yang betul iaitu kombinasi pernafasan, tendangan kaki dan kayuhan tangan yang tepat pasti mampu membawa perenang bergerak dengan lebih pantas dan jauh. Individu yang mampu berenang dengan sempurna dianggap mempunyai aset yang bernilai samaada untuk tujuan bersukan atau membantu orang lain sewaktu berada di air.
Di Malaysia, terdapat dua (2) cabang atau aliran renangan bagi mereka yang berminat untuk memajukan diri di dalam aktiviti renang.
- Aliran Sukan atau kompetitif yang dipelopori oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (“Amateur Swimming Union of Malaysia”) atau ASUM adalah persatuan renang utama yang diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara. ASUM adalah ahli penuh kepada pertubuhan antarabangsa yang dinamakan FINA (“the Fédération Internationale de Natation”). FINA disertai oleh 202 buah Negara dari seluruh dunia yang bergabung untuk mempromosikan aktiviti sukan air seperti renang, terjun papan anjal dan polo air.
- Aliran Penyelamat yang dipelopori oleh Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (“Life Saving Society of Malaysia”) yang juga di kenali dengan nama ringkasnya LSSM; adalah persatuan yang mengiktiraf keupayaan individu untuk menyelamat nyawa mangsa lemas di air. Persatuan ini merupakan ahli penuh kepada Persatuan Penyelamat Antarabangsa iaitu “International Life Saving Federation” (ILSF) dan ahli bersekutu untuk kesatuan “Commonwealth Council of the Royal Life Saving Society”. Persijilan LSSM melayakkan individu untuk berkerja sebagai “Lifeguard” di kolam awam atau swasta.
Specialty Training and Services (STS) menawarkan latihan renang di peringkat asas. STS menumpukan kepada latihan renang secara intensif yang memerlukan sekurang-kurangnya lima (5) hari untuk melatih sekumpulan 10 hingga 40 pelatih bagi mencapai tujuan berikut;
- Memiliki keselesaan apabila berada di air ("water confident")
- Mengadaptasi teknik pernafasan renang yang betul
- Menguasai sekurang-kurangnya satu (1) jenis kuak renangan